Saturday 9 July 2011

ISTIKHARAH CINTA


Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu mawaddah dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (QS Ar-Rum [30]:21)
Dari ayat tersebut telah jelas bahawa manusia diciptakan Allah dengan pasangannya. Jadi jangan merasa berkecil hati jika saat ini masih ada yang belum menemui jodohnya atau telah bertemu jodoh dan Allah berkehendak lain dengan jodoh tersebut
Urusan jodoh memang seringkali dikaitkan dengan “rahsia Tuhan” yang mengejutkan. Seseorang yang berparas menarik dan memiliki sekian kelebihan, tetapi tidak menemui pasangan. Sementara seseorang yang dipandang biasa-biasa saja  lebih cepat berkahwin. Jodoh memang sudah ditentukannya tetapi bukan bererti kita cuma berdiam diri tanpa adanya usaha.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11
Menemukan pasangan menuntut sejumlah usaha aktif yang komprehensif. Usaha-usaha positif dalam menemukan pasangan dapat disebut sebagai “menjemput jodoh”. Bagi orang yang beriman, berdoa adalah puncak segala usaha. Bahkan Islam menyebut doa sebagai silah al-mu’min (senjata mu’min).
Dalam mengenali pasangan, manusia tetap dibatasi kemampuannya untuk melihat pada aspek-aspek fizikal jasmani dan hal-hal yang nampak dimata. Sementara aspek batin yang tersembunyi tetaplah milik Allah. Solat Istikarah merupakan upaya untuk memohon kepada Tuhan dalam membantu memilih calon pasangan. Jangan terburu-buru untuk menolah atau menerima sebelum upaya berdoa ini dilakukan agar tidak salah pilih.
Begitu dahsyatnya keajaiban solat istikarah dalam memantapkan hati dalam menentukan pilihanBahawasanya orang yang telah melaksanakan solat istikarah hendaklah melaksanakan apa yang telah diazamkannya, baik hatinya menjadi terbuka maupun tidak .
Bermunajat pada Allah dalam sepertiga malamnya memohon diberikan pilihan terbaik dalam hidupnya sebuah petunjuk dalam memantapkan hati mengenai  jodoh yang menjadi misteriNYA. 

Diatas Sajadah malam ini aku tertunduk pada gelap dan pekatnya malam,
meraba rahsia Mu Ya Allah atas jodoh yang kan kau pilihkan untukku
istikarah mencari jawapan untuk menggapai alhub fillah wa lillah
dalam doa ku bersimpuh pasrah
memohon datangnya jawapan kepada Sang Pemberi hidayah
bila jawapan itu masih menggantung di langit
maka turunkanlah
bila jawapan itu masih terpendam di perut bumi
maka keluarkanlah
bila jawapan itu sulit ku raih
maka mudahkanlah
bila jawapan itu masih jauh
maka dekatkanlah

Duhai kekasih sejati, Engkau Maha cahaya, Engkau Cahaya di atas Cahaya.
Dalam kerinduan mendalam, dalam tatih meniti Pintu Cahaya,
Aku di sini, bersimpuh untuk menjemput CINTA,
Cinta Seseorang Yang telah kau pilihkan semoga kan abadi di dunia dan Akhirat

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Memiliki Rahsia, Tuhan yang Maha memegang kasih sayang seluruh jiwa kami, Tuhan yang Maha Penentu, Tuhan yang Maha Menyatukan jiwa-jiwa kami, ya Allah, aku merupakan hamba yang lemah, hamba yang tidak mampu mengawal diriku daripada fitrah seorang manusia yang memerlukan teman, memerlukan kekasih, memerlukan suami/isteri, memerlukan keluarga.
Ya Allah aku tidak mampu menahan diriku daripada terjeremus ke dalam kemaksiatan. Ya Allah, jika masanya telah tiba, jika apa yang aku mohon ini merupakan sesuatu yang terbaik disisiMu Ya Allah, terbaik buat agamaku Ya Allah, terbaik buat diriku, keluarga dan seluruh mukminin dan mukminat Ya Allah, maka aku memohon kepadaMu YaAllah agar aku ditemukan dengan jodoh yang terbaik di sisiMu Ya Allah. Setiap yang terbaik di sisiMu Ya Allah, pasti terbaik buat diriku Ya Allah.
Namun Ya Allah, jika masanya untuk dipertemukan dengan jodohku belum tiba YaAllah, maka Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar Kau tunjukkan jalan-jalan untuk aku memiliki jodohku Ya Allah. Aku memohon agar Kau tunjukkan aku tuntutun-tuntutanMu yang perlu aku lakukan untuk memiliki jodohku Ya Allah. Ya Allah, Tuhan yang Maha Memakbulkan doa, Tuhan yang Maha Penentu jodoh, Ya Allah jauhilah aku daripada kemaksiatan, jauhilah aku daripada perkara-perkara yang tidak dapat memberikan manfaat, jauhilah aku daripada perkara-perkara yang Engkau murkai dan perkara-perkara yang menyesatkan diriku Ya Allah. Amin

Jadi, bagi yang belum bertemu jodoh, bersikap optimislah, temui serta jemputlah calon jodoh anda dengan ikhtiar yang maksimum. Yakinlah bahawa Allah telah menentukan segala sesuatu berpasang-pasangan. Mudah-mudahan Allah membimbing usaha anda untuk sampai kepada jodoh yang ditakdirkan. Amin.
Jangan menyerah kegagalan yang pernah terjadi dalam menjemput jodoh bukan bererti kegagalan selamanya.
Satu prinsip yang kan selalu melekat dihati ” La Tahzan Innalloha Ma’ana”
Senyum terindah untuk jodoh yang Allah telah persiapkan


Sumber: Paradigma MUKMIN 

CINTA ITU ADALAH FITRAH..

Cinta seorang lelaki kepada wanita dan cinta wanita kepada lelaki adalah perasaan yang manusiawi yang bersumberkan dari fitrah yang diciptakan Allah SWT di dalam jiwa manusia , iaitu kecenderungan kepada lawan jenisnya ketika telah mencapai kematangan fikiran dan fizikalnya.
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri , supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya , dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” (QS Ar Rum : 21)
Cinta pada dasarnya adalah bukanlah sesuatu yang kotor , kerana kekotoran dan kesuciannya bergantung kepada kita. Jika kita mengarah cinta itu kepada kebaikan, maka terbitlah cinta yang suci dan halal. Jika kita mengarahkan cinta kita berlandaskan hawa nafsu semata – mata, maka terbitlah cinta  yang kotor dan haram
Cinta mengandungi segala makna kasih sayang , keharmonian , penghargaan dan kerinduan , disamping mengandungi persiapan untuk menempuh kehidupan dikala suka dan duka, lapang dan sempit.
Cinta bukanlah hanya sebuah tarikan luaran sahaja.
Tarikan secara luaran hanyalah permulaan cinta, bukan puncaknya.
Dan sudah fitrah manusia untuk menyukai keindahan.
Tetapi disamping keindahan bentuk dan rupa harus disertai keindahan keperibadian dengan akhlak yang baik.
Islam adalah agama fitrah. Kerana itulah Islam tidaklah membelenggu perasaan manusia.
Islam tidak mengingkari perasaan cinta yang tumbuh pada diri seorang manusia .
Akan tetapi Islam mengajarkan pada manusia untuk menjaga perasaan cinta itu, dirawat dan dilindungi dari segala kehinaan dan apa saja yang mengotorinya.
Islam membersihkan dan mengarahkan perasaan cinta. Islam mengajarkan bahawa sebelum dilaksanakan akad nikah, kita harus bersih dari persentuhan dan perkara – perkara lain yang haram.
Jadi, kenapa ada sesetengah dari kita mahu menghalang perasaan cinta?
Cinta itu hendaklah dikawal, Bukan Dihalang. Kerana Cinta adalah Fitrah


Saturday 2 July 2011

Marhaban ya Sya'ban...

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri
REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:
“Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:
“Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan“,
bermaksud : “Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan.”
Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati. Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia. Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.
Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu. Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?
Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?
Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia. Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Firman Allah bermaksud:
“Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa.” – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).
Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan. Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan. Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud:
“Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan“. (Surah Hud, ayat 123).
Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti. Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:
“Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban“.
Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.
Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.
Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang ’syubhah’. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?
Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah:
“Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.”
Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.

INFO
  • Syaaban adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.
  • Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
  • Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.
  • Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.
http://hanistantawi.blogspot.com/

REMAJA BERAKAL FOKUS BELAJAR

Merebut Hati
            Meniti usia remaja, terlalu banyak tarikan-tarikan di sekiling yang mahu memenangi fokus hati. Cinta, hiburan, gejala sosial, rakan sebaya, kerja sambilan, menghabiskan masa dan banyak lagi pesaing-pesaing yang cuba merebut sekeping hati remaja. Amanah belajar yang terpikul di bahu remaja sering ditewaskan oleh pesaing-pesaing itu.
            Remaja berakal perlu sentiasa peka terhadap persiapan akal, rohani dan jasmaninya. Belajar adalah proses mempersiapkan akal. Ia suatu proses seumur hidup. Ia sepatutnya menjadi prioriti seseorang untuk mengisi alam remajanya dengan belajar, belajar dan terus belajar. Penting sangatkah belajar untuk mempersiapkan akal? Sudah tentu! Kesedaran ini akan memudahkan hati memenangkan apa yang lebih penting dan utama dalam persaingan tarikan-tarikan tadi merebut fokus hati.
            Para cerdik pandai berkata, “Barangsiapa yang akalnya bukan merupakan sesuatu yang dominan, maka dia akan mati dan binasa kerana sesuatu  yang paling dicintainya.”
Allah Sebagai Akal
            Berkata Aisyah r.ha, “Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.” Remaja berakal akan sentiasa memikirkan apa yang Allah inginkan sebelum melakukan sesuatu. Nilaian Allah menjadi kayu ukur dan pemutus. Tiada nilaian lain yang lebih penting daripada nilaian-Nya.
Baginya, yang baik itu ialah apa yang Allah katakan baik, dan yang buruk itu ialah apa yang Allah katakan buruk. Akal dan pemikirannya bebas berfikir serta dipandu oleh petunjuk wahyu. Tidak sebagaimana remaja di Barat, mereka berfikir sebebas-bebasnya namun sayang tanpa panduan dan tanpa petunjuk. Maka natijahnya, akal dimanfaatkan untuk memajukan perkara maksiat. 
Umar al-Khattab berkata, “Orang berakal itu bukan setakat mampu membezakan yang baik dari yang buruk, tetapi mampu mengetahui mana yang lebih baik daripada dua keburukan.”
 Al-Hasan pula berkata, “Agama seseorang tidak menjadi sempurna kecuali dengan kesempurnaan akalnya. Allah tidak memberikan akal kepada seseorang melainkan suatu hari Dia akan menyelamatannya dengan akal itu.”
Akal Melelahkan Syaitan
            Wahab bin Munabbih berkata, “Syaitan merasa paling kesulitan jika menghadapi orang mukmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke manapun yang dia kehendaki. Namun, dia benar-benar merasa kesulitan berhadapan dengan orang mukmin yang berakal dan memujuknya, sekalipun untuk mendapatkan sedikit apa yang dihajatkan daripadanya.”
            Remaja berakal sentiasa menyebabkan syaitan dalam kelelahan dan kesulitan. Syaitan yang kelelahan kadang kala merelakan remaja melakukan kebaikan begitu sahaja tanpa digoda. Lantaran kelelahan itu, si syaitan terpaksa beralih arah menggoda orang-orang bodoh.
            Berkata Wahab bin Munabbih lagi, “Meruntuhkan gunung sebongkah demi sebongkah batunya, lebih mudah bagi syaitan daripada memujuk orang mukmin yang berakal. Jika dia benar-benar tidak mampu menghadapinya, maka dia beralih kepada orang-orang bodoh lalu menawannya. Syaitan boleh memimpinnya hingga menjerumuskannya  kepada pelbagai macam kehinaan yang dirasakan di dunia, seperti mendapat hukuman rejam, dipotong tangannya, disalib dan kehinaan-kehinaan yang lain.”
            Remaja berakal sudah tentu tidak mahu terperangkap dalam kehinaan ditangkap khalwat, dibicarakan kerana masalah sosial, ditahan kerana merempit, didakwa kerana membuang bayi luar nikah, dihantar ke sekolah juavana, dilatih di pusat-pusat pemulihan akhlak dan sebagainya. Kehinaan ini hanya layak bagi orang-orang bodoh yang sering memenangkan nafsunya. Mereka sering memilih jalan maksiat dengan alasan, “Saya tak kuat,” tanpa berusaha menggunakan akal untuk menguatkan diri dengan ilmu dan mujahadah.
            Orang yang tidak menggunakan akal bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia tetapi turut mendapat kehinaan di akhirat. Amat malang kerana kehinaan di akhirat itu lebih menyakitkan dan boleh bersifat kekal selama-lamanya. Wahab bin Munabbih meneruskan katanya,
            “Sementara di akhirat dia akan mendapat neraka dan aib yang sangat menghinakan. Boleh jadi dua orang sama dalam kebaikannya, namun ada perbezaan yang memisahkan kedua-duannya seperti pemisahan antara timur dan barat kerana akalnya. Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik daripada dengan akal.”
Remaja Berakal Tidak Mahu Hipokrit
Seringkali akal ditipu,
            “Saya tidak mahu buat begini (merujuk apa-apa perbuatan baik) kerana saya tidak mahu menjadi hipokrit,” kata remaja.
            Kata-kata seumpama ini mencerminkan bahawa remaja itu sedang melabelkan dirinya yang sebenar adalah seseorang yang buruk, berdosa dan sentiasa di takuk lama.
Sedarkah kita, kita dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana yang dimaklumkan oleh hadis sahih riwayat Bukhari, no. 1296. Fitrah di sini bermaksud Islam. Islam itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Ya, kita dilahirkan dalam keadaan kita adalah seorang hamba yang perlu taat dan patuh kepada-Nya dengan penyerahan diri yang total.
Maka, kita sedang menjadi diri sendiri ketika kita sedang melakukan kebaikan. Kita sedang hipokit dengan Allah ketika kita sedang melakukan kejahatan. Inilah hakikatnya diri kita yang sebenar, fitrah, suci dan bersih. Remaja yang berakal akan segera menukar paradigma agar tidak tertipu lagi.
Yusuf bin Asbath berkata, “Akal adalah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan membaik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan normal kecuali berdasarkan akal.”
Remaja Berakal Segera Bertaubat
Remaja berakal tidak bertangguh untuk bertaubat jika dia melakukan kesalahan.  Dia tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan. Tidak bertangguh untuk melakukan perubahan yang lebih positif. Kenapa? Kerana dia sedar dia dilahirkan untuk menjadi yang terbaik.
            Muaz bin Jabal berkata, “Andaikata orang yang berakal itu mempunyai dosa pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pasir, maka akhirnya dia cenderung masih boleh selamat daripada dosa-dosa itu. Andaikata orang yang bodoh itu mempunyai kebaikan dan kebajikan pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pepasir, maka akhirnya dia cenderung tidak mampu mempertahankannya meskipun hanya seberat biji sawi.”
            Ada yang bertanya, “Bagaimana ia boleh terjadi?”
            Muaz menjawab, “Sesungguhnya jika orang yang berakal itu tergelincir, maka dia segera menyedarinya dengan cara bertaubat dan menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya. Tetapi orang bodoh itu ibarat orang yang membangun dan langsung merobohkannya. Kerana kebodohannya, dia terlalu mudah melakukan apa yang boleh merosakkan amal solehnya.”
Fokuslah Belajar Agar Kau Jadi Remaja Berakal.
            Remaja berakal tidak akan mempersiakan masa mudanya. Digunakan masa mudanya sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama tidak lupa menyeimbangkan diri dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik di antara yang terbaik. Ayuh, fokuslah belajar!

Bila Ujian Cinta Menjalar, Di Mana Panduannya????

Menduakan Cinta-Nya

“Salahkah bercinta?”
            “Allah yang hadirkan cinta secara fitrah, tak kan tak boleh layan?”
            “Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal bakal pasangan?”
            Kasihan remaja kita. Banyak persoalan di minda belum terjawab.
Siapa yang akan menjawabnya? Pengalaman orang-orang dewasa di sekeliling mereka yang akan menjawabnya? Mungkinkah logik minda mereka sendiri akan menjawab semuanya? Mungkinkah penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?
            Beruntunglah remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang ma’sum (terpelihara) iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bukan mencari fatwa di dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dan perbincangan kosong di alam maya.
Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada al-Quran dan al-Sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.
Al-Quran dan al-Sunnah, dua sumber itu yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban ke dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku meninggalkan kamu dua perkara, tak kan sesat siapa yang berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Malik).
Ujian cinta itu berat. Jika ujian cinta itu menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, tak kan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya? Panduan untuk menguruskannya bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama yang fitrah mahu membunuh fitrah? Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah. Bersama redha Allah.
Remajaku sayang,
Belek-beleklah panduan Al-Quran dan Al-Sunnah. Alam remajamu akan menjadi lebih indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju ke masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu merasa dinaungi cinta yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.
Di mana harus dicari panduan-panduan yang praktikal? Agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah sekaligus. Insyallah, di sini, di Solusi salah satu jalannya. Selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, kau akan ketemuinya di bibir guru-guru yang beramal, orang-orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog-blog yang dipercayai, laman web para ulama dan sebagainya. Ini adalah jalan-jalan untuk kita lebih memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Banyak dan mudah, bukan? Jika hendak seribu daya. Jika tak hendak, doa-doalah biar hati jadi lunak. Tunduk dan menyerah kepada apa yang Allah kehendaki.

Syirik Cinta
            Selalu kita diingatkan agar tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah. Menyembah selain Allah. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah.
Mengambil sesuatu yang selain daripada Allah SWT sebagai sumber kecintaan paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah SWT dengan selain-Nya. Allah SWT mendedahkan kepada kita di dalam Al-Quran,
“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu  mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal). (Surah Al-Baqarah: ayat 165).
Para ulama’ ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirkul mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah dengan makhluk seangkatan dengannya.
Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehinggakan melupakan Allah? Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk di hatimu, apatah lagi untuk menjadikannya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan.
Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah-gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran.
Aduhai hati, takutlah pada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tak sanggup memiliki hati yang mati.

Menterjemahkan Cinta dengan Jalan-jalan “Taqrabu az-zina”?

            Ya, bukan Allah tak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tak mengerti bayangannya sering singgah di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrahmu itu akan tersalur secara mulia dan diredhai-Nya.
            Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimanakah caranya?
            Kenal pasti dahulu tahap kesediaanmu wahai remaja.
Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajaran kan?
Dirimu belum bersedia untuk berumag tangga kan?
Dirimu sedang mempersiapkan diri kan?
Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih urgensi kan?
Kalau dirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikannya dengan mujahadah. Apabila ‘angau’ bertandang, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina diri.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
“Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina,kedua mata itu berzina dan zinanya adalah melihat,kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan, mulut juga berzina dan zinanya adalah mencium dan hati itu berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari perzinaan tersebut. (Hadis riwayat Ahmad).

Gentarlah pada firman-Nya,
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: ayat 32)
Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah SWT: “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina. (Tafsir Al-Qurthubiy, Juz 10 hal. 253) Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina. (Tafsir Ruhul Ma’aaniy Juz 15 hal. 67-68 Al-Imam Al-Aluwsiy Al-Baghdadi. Tafsir Bahrul Muhith Juz 6 hal. 33.)
            Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina?
Sms bertali arus tanpa keperluan.
Call siang malam tanpa urusan.
Chatting kosong tanpa isi.
Dating bertemankan syaitan.
Pandang-pandang tanpa pagaran.
Khalwat di tempat-tempat sunyi.
Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan.
Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilah adik angkat, abang angkat.
Dan banyak lagi.
            Inikah bukti cintamu?
            Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?