Thursday 30 June 2011

ISTIKHARAHKU MEMBISIKKAN SESUATU…

Persoalan Lazim Remaja
            “Bagaimana kita hendak tahu si dia terbaik untuk kita ataupun tidak?”
“Selepas istikharah memang ia akan nampak dalam mimpi?”
“Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam mimpi selepas buat istikharah. Jadi, perlukah saya terima dia sedangkan saya tidak yakin pun kepadanya?”
“Saya takutlah hendak membuat istikharah. Takut nampak apa yang saya tidak berkenan.”
Apa Itu Istikharah?
            Istikharah ialah suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunnah terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata, bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan.
Contohnya, mahu membeli kereta VIVA ataupun Myvi? Mahu balik kampung ataupun mengikuti program keusahawanan semasa cuti semester? Mahu mengikuti jurusan Undang-undang Sivil ataupun Undang-undang Syariah? 
Bagaimana membuat pilihan?
Buatlah pilihan dengan istikharah dan berbincang.
Berdoa kepada Khaliq dan berbincang dengan makhluk.
Ikut garis panduan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah Allah ataupun melakukan larangan-Nya. Contohnya, mahu memakai tudung ataupun tidak? Mahu memakai jeans ataupun baju kurung? Mahu pergi dating ataupun study?

Istikharah Menghapus Unsur-unsur Ramalan
            Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mantera dan meramal masa depan. Pelbagai kreativiti direka-reka bagi menilik nasib seperti meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian belahan-belahan kayu. Mereka meramal bagi mengetahui bilakah waktu yang sesuai memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90).
Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti itu, Allah SWT mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan kebahagiaan di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih istikharah sebelum memutuskan urusannya.

Doa Istikharah
 
            Maksudnya: 
Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.”

Galakan Istikharah
            Galakan istikharah sangat tinggi dalam Islam, hingga ada ulama yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh(generasi awal yang dekat dengan zaman Nabi) bersepakat yang istikharah itu sunnah bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah, “Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah daripada al-Quran, sabdanya, 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini….'” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
            Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya.
            Rasulullah SAW berkata: “Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi?
            Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Selepas beristikharah dan berbincang, kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi mengapa perlu takut untuk istikharah?
Sekiranya seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya selepas istikharah, ia hanyalah bonus daripada Allah untuknya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi.
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri bagi memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah untuk kita.
Hatta sekiranya kita sendiri yang bermimpikan seseorang selepas istikharah, kita perlu memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati, dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223). Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .
Apakah pandangan Islam berkenaan mimpi (ru’yah)?
Realiti tiga golongan.
1.      Ada orang yang bergantung sepenuhnya kepada mimpi. Ia terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.
2.      Ada golongan yang menolak sepenuhnya mimpi. Ia menafikan sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut diingkari secara umumnya.
3.      Ada golongan yang menganggap mimpi sebagai bonus sokongan daripada Allah  dengan apa yang sudah diyakini berdasarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat ini lebih adil dan sederhana.
Merujuk Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh Muhammad Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa penjelasan berkenaan kedudukan mimpi dalam Islam. Antaranya adalah:
·Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak. (Misalnya seseorang yang bermimpi, hubungannya dengan Allah sudah mantap maka dia hanya perlu solat dengan menggunakan niat, maka mimpinya dikira batil dan tidak menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).
·Mimpi seseorang tidak diambil kira sekiranya bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita mengandung  bermimpi makan khinzir hingga menyebabkan dia sangat mengidamkannya. Mimpi itu tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum agama yang telah tetap.)
·Mimpi seseorang yang tidak bertentangan dengan nas, boleh diambil kira untuk dirinya sendiri, bukan hujah untuk orang lain. (Misalnya, seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan akhlak orang itu memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan mimpinya suatu realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya semata-mata berhujahkan mimpinya sendiri.)
·Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk dengan waham (prasangka), justeru kita tidak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sekadar berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan seseorang, sedangkan kita belum mengetahui berkenaan agama dan akhlaknya, maka tidak perlu terburu-buru percaya kepada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh menjadi sekadar ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).
·Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada perkara yang sudah tetap (thabit) daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia dianggap sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap sebagai cahaya di atas cahaya.
·Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan perasaan semasa tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW, “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat Muslim). Ibnu Taimiyah berkata di dalam al-Fatawa, hendaklah seseorang tahu membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).
·Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang benar, namun mereka mensyaratkan, perlunya nilaian daripada al-Quran dan al-Sunnah terhadap setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber itu yang maksum (terpelihara daripada kesilapan).
·Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada kalanya benar dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh dengan tali Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).
Wujudkan Sokongan Mimpi dalam Urusan Jodoh?
            Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita supaya beristikharah (berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang dengan makhluk) dalam membuat sesuatu pilihan.
Kita tidak perlu meragui lagi yang Rasulullah SAW menjadikan istikharah itu trend dalam hidup baginda apabila mahu membuat sesuatu pilihan. Buktinya, kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan, seperti baginda mengajar kami satu surah dari al-Quran, sabdanya:
Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan melakukan sesuatu perlulah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT menghadirkan mimpi seorang gadis yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila diselak, gadis itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat.” Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.
Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau ini kehendak Allah, pasti akan terlaksana.” (Muttafaqun a’laih).
Selepas mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan Khaulah binti Hakim bin al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan calon isteri untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan iaitu Saudah dan Aisyah. Berdasarkan nilaian akhlak dan agama memang patut dijadikan isteri. Natijahnya, Rasulullah SAW meminta beliau menyampaikan pinangan baginda kepada calon yang dimaksudkan itu.
Kesimpulannya:
·Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah.
·Petunjuk tidak semestinya hadir melalui mimpi. Namun sekiranya kita bermimpi yang baik, ia boleh menjadi bonus sokongan daripada Allah kerana mimpi itu wujud, thabit dan tidak patut diingkari secara umumnya.
·Petunjuk dapat hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama.
·Selepas beristikharah dan berbincang ,kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.

Wednesday 29 June 2011

UNTUKMU WANITA


Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." 
Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.
Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.
Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.
Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.
Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. 
Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.
Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.
Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. 
Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24 yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."
Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.
Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah SWT.
Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,
"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.
Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya sekalipun.
Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat
Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur.
Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.
Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat.
Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya.
Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.
Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat.
Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.
"Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)
Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.
Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS. 
Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.
Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka.
Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.
Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.
Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.
Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).
Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.
Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.
Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut.
Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?
Maka, labuhkanlah tudungmu.
Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah SAW,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya, "Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?"
Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT." 
Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam; bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.
Saudariku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan.
Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya.
Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan.
Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.
Saudariku,
Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa.
Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.
Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.
Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah SWT di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan hilang segalanya.
Saudariku,
Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,
"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"
Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.
Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.
Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.

Tuesday 28 June 2011

MENGENAI WANITA

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana
sifat penyayang yang
lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada
Rasulullah akan hal
tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada
bapa dan doa orang
yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin
dalam rahimnya, maka
beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan
baginya setiap
hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya
1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak
bersalin, maka Allah
mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada
jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak,
keluarlah dia dari
dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu
setiap satu
tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara
anaknya yang
sakit, maka Allah memberinya pahala seperti
memerdekakan 70 hamba dengan
ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak
perempuannya, darjatnya seumpama
orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan
orang yang takutkan
Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari
pasar ke rumah) lalu
diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti
bersedekah. Hendaklah
mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.
Maka, barangsiapa yang
menyukakan anak perempuan seolah-olah dia
memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam
urusan agama, maka Allah
memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada
suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila solat lima waktu, puasa
bulan Ramadhan,
memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya,
masuklah dia dari pintu
syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada
1,000 lelaki yang
soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah,
siapakah yang lebih
besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah,
"Suaminya. "Siapa pula
berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang
ibubapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di
laut, burung di
udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua
beristighfar baginya
selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga
solat dan
puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan
tertutup
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.
Masuklah dari mana-mana
pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan
tinggal bersama aku
(Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau
tiga saudara
perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara
perempuan lalu dia
bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan
mendidik mereka dengan
penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka
baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan
sesuatu
daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik
kepada mereka, maka
mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api
neraka.
"Jadi, janganlah sesekali kita merasa lemah. Wanitalah
sebenarnya yang
membuat seseorang lelaki itu kuat. Itulah salah satu
sebab mengapa Nabi
meletakkan wanita setaraf pada lelaki dan tidak lebih
rendah.

Fitnah Bala Akhir Zaman...

9 Sebab Hati Tidak Bahagia

1-    Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.
 
2-    Pendendam
Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.
 
3-    Hasad dengki
Amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.
 
4-    Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.
 
5-    Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi). Ingat! Yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
 
6-    Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.
 
7-    Ego
Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Pasal semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi atau rendah tahap keegoan tersebut.
 
8-     Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak, takabbur dengan apar yang kita ada.
 
9-    Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.
 

Kesimpulan
Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara totalnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain lainnya, tetapi ialah MAZMUMMAH. Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak bahagia.
 
Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya